Kisah Pedagang dan Dayang Khalifah
Membasuh Tangan 120 Kali
…Abu Nawas bekerja sebagai orang kepercayaan Raja Ali Ibnu Bakri.
Abu Nawas dikenali sebagai orang cerdik dan ahli dongeng yang
termasyhur. Suatu hari Raja mengalami ketegangan fikiran selepas bekerja
sepanjang hari mengurus rakyat. Sang Raja memerintahkan kepada Abu
Nawas bercerita mengenai kisah-kisah aneh dan ajaib, yang menjadi
kegemaran sang Raja, untuk menghilangkan sedikit ketegangan jiwa yang
dialaminya.
Kebiasaannya, Raja mendengar kisah-kisah Abu Nawas pada malam
hari, iaitu sebelum sang raja menidurkan matanya. Abu Nawas menjawab,
“Dengan senang hati, wahai raja yang baik dan bahagia…”
Dikisahkan, wahai Raja yang bahagia, salah seorang pelayan istana
berkata kepada raja Cina:
Wahai Raja zaman ini, tuan rumah memerintahkan para pelayannya agar
mengambil air dan semua yang diperlukan untuk membasuh tangan salah
seorang tamunya yang dianggap agak ganjil dan aneh. Tamu itu lalu
membasuh tangannya dengan air bercampur sabun, garam dan daun sebanyak
seratus dua puluh kali basuhan.
Selepas itu barulah ia makan ‘ragut’(sejenis makanan yang berasal
dari sebuah desa di Baghdad), tetapi pemuda itu memakannya seolah-olah
dengan perasaan jijik dan mual, sementara kami memandangnya dengan penuh
kehairanan, sebab tangannya dan malah sekujur tubuhnya menggigil.
Bila kami melihat tangannya, barulah kami mengetahui bahawa ibu
jarinya terpotong, dia makan hanya dengan empat jari, sehingga
menyebabkan makanan itu berjatuhan dari tangannya. Kami menyoalnya
dengan hairan, “Apa yang terjadi dengan ibu jarimu? Apakah Tuhan
menciptakanmu dalam keadaan seperti ini, atau apakah engkau pernah
mengalami kemalangan?”
Pemuda itu menyahut, “Demi Tuhan, bukan hanya ibu jari ini saja yang
hilang, tetapi juga ibu jari tanganku yang satu lagi, dan tumit
kedua-dua kakiku, seperti yang akan kalian lihat.”
Lalu dia menunjukkan tangan kirinya dan kedua-dua kakinya. Kami
melihat bahawa tangan kirinya nampak seperti tangan kanannya dan
kedua-dua kakinya, tidak mempunyai tumit. Ketika kami melihatnya,
kehairanan kami semakin bertambah, hingga kami berkata padanya, “Kami
tak sabar menunggu kisahmu dan penyebab terpotongnya kedua ibu jari
serta tumit kakimu dan mengapa engkau membasuh tanganmu seratus dua
puluh kali.”
Pemuda itu berkata, “Ayahku adalah salah seorang pedagang yang
paling terkemuka di Baghdad pada masa pemerintahan khalifah Harun
Al-Rasyid. Tetapi ayahku gemar minum anggur dan bermain muzik kecapi,
sehingga ketika dia meninggal ayahku tidak mewariskan sesuatu pun
kepadaku.
Aku melaksanakan upacara pemakaman baginya, mengadakan pengajian
Al-Quran, dan terus berkabung untuknya dalam masa yang cukup lama. Lalu
aku membuka kedai peninggalan ayahku dan mendapati bahawa dia hanya
meninggalkan sedikit harta dan banyak hutang. Maka aku terpaksa
menjelaskan dan membayar kesemua hutang ayahku dengan membayarnya
beransur-ansur.
Aku mula melakukan jual-beli dan membayar hutang ayahku minggu
demi minggu, hingga akhirnya aku berjaya menjelaskan kesemua hutang
ayahku dan modalku mula bertambah. Suatu hari, ketika aku sedang duduk
di kedaiku, datanglah ke pasar seorang gadis muda yang cantik, yang
kecantikannya belum pernah kulihat tandingannya, berpakaian mewah dan
dihiasi permata.
Dia menaiki seekor keldai betina, dengan seorang hamba sahaya
berkulit hitam berjalan di hadapannya dan seorang lagi di belakangnya.
Gadis itu turun dari keldainya dan terus memasuki pasar. Baru saja dia
melangkahkan kakinya ke pasar, seorang pengawal datang mengikutinya dan
berkata, “Tuan puteri, masuklah, tapi jangan sampai ada orang yang
mengenalimu, sebab kita akan menghadapi kesukaran.”
Lalu pengawal itu berdiri berjalan di hadapan sang gadis, sambil
melihat-lihat kedai. Tetapi kerana mendapati tidak ada kedai yang buka
kecuali kedaiku, gadis itu mendatangi kedaiku. Gadis itu menegurku, lalu
duduk….
Tiba-tiba fajar pun menyingsing. Abu Nawas terdiam, lalu sang
Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan indah!” Abu Nawas menjawab,
“Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi indah.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Terima Kasih Komentar Anda