Malam berikutnya, sang Raja memerintahkan kepada Abu Nawas untuk
meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib, yang menjadi kegemaran sang Raja
untuk mendengarkannya. Abu Nawas menjawab, “Dengan senang hati, wahai
raja yang baik dan bahagia…”
Dikisahkan, wahai sang Raja, pelayan itu menceritakan kepada raja
Cina bahawa pemuda itu berkata:
Seminggu kemudian para pedagang mendatangiku, meminta wang mereka,
tetapi aku merayu mereka agar menunggu hingga seminggu lagi. Seminggu
kemudian gadis itu datang selepas Subuh, menaiki keldai betina dan
diiringi oleh pengawal dan dua orang hamba.
Dia memberi salam padaku dan setelah duduk di dalam kedai, berkata,
“Aku terlambat membawakanmu wang untuk kain-kain itu. Panggillah seorang
penukar wang dan terimalah wang ini.”
Aku memanggil seorang penukar wang, dan menukarkan wang untuk
diberikan kepada para pedagang. Lalu dia dan aku duduk bercakap-cakap
hingga kedai-kedai buka, dan pada saat itulah aku membayar hutangku pada
setiap pedagang. Lalu gadis itu berkata padaku, “Tuan, ambilkan aku ini
dan itu.”
Aku segera mengambilkan apa-apa yang diinginkannya dari para
pedagang, lalu dia mengambilnya dan pergi, tanpa mengucapkan sepatah
kata pun mengenai pembayarannya. Aku mula menyesali apa yang telah
kulakukan, sebab harga dari apa yang telah kubeli untuknya adalah seribu
dinar, dan aku berkata kepada diri sendiri:
“Sungguh sukar! Dia memberiku lima ribu dirham tetapi telah mengambil
barang seharga seribu dinar, sedangkan para pedagang itu berurusan
denganku dalam soal pembayaran. Tidak ada kekuatan dan kekuasaan,
kecuali di tangan Tuhan, Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa. Wanita yang
baru saja berurusan denganku ini pastilah seorang penipu, dan aku bahkan
tidak meminta alamatnya.”
Dia pergi selama lebih dari sebulan, hingga para pedagang mula
mendesakku untuk membayar wang mereka dan kerana sudah terlalu lama
hingga aku sudah tidak lagi mengharapkan kedatangannya, aku mengumpulkan
seluruh kekayaanku untuk kujual. Tetapi suatu hari, ketika aku sedang
duduk dengan sedih dan kebingungan, gadis itu datang dan duduk di
kedaiku sambil berkata, “Ambillah timbangan dan ambil wangmu.” Lalu dia
memberikan padaku wang seribu dinar dan kami berbincang dengan bebas dan
aku merasa terhibur lagi. Lalu dia bertanya padaku, “Apakah engkau
mempunyai isteri?”
Aku menjawab sambil menangis, “Tidak, aku belum pernah menikah.”
Dia bertanya, “Mengapa engkau menangis?”
Aku menjawab, “Tidak apa-apa.” Lalu aku merayu pengawalnya agar
menjadi perantaraku dengannya untuk menyatakan isi hatiku. Tetapi
pengawal itu tertawa dan berkata, “Demi Tuhan, dia lebih mencintaimu
daripada engkau mencintainya. Dia tidak memerlukan kain-kain yang
dibelinya darimu, tetapi dia melakukan itu kerana terdorong oleh rasa
cintanya padamu. Katakan sendiri kepadanya apa yang menjadi impianmu.”
Lalu aku mendekati pelayan gadis itu seraya berkata padanya,
“Bermurah hatilah dan izinkan aku untuk mengatakan padamu apa yang ada
di dalam benakku supaya engkau sampaikan kepada gadis itu.” Lalu aku
mengatakan padanya apa yang menjadi hasrat di hatiku dan dia setuju
untuk menyampaikannya pada gadis itu.
“Engkau harus menyampaikan pesanku padanya,” kataku sambil
meneruskan, “Lakukan apa saja yang dia minta.”
Malam berlalu tetapi mataku tidak terpejam sedangkan hatiku terus
memikirkan gadis itu. Beberapa hari kemudian si pengawal mendatangiku….
Tiba-tiba fajar pun menyingsing. Abu Nawas terdiam, lalu sang
Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan indah!” Abu Nawas menjawab,
“Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi indah.”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Terima Kasih Komentar Anda